Selasa, 17 Disember 2013

                                 

SECANGKIR KOPI MANIS

ASSALAMU’ALAIKUM WBT DAN SALAM MOTIVASI …..

    Terlebih dahulu bagi pihak Al-Badru Training saya ingin mengucapkan salam motivasi dan bersama kita melakukan transformasi diri. Marilah bersama kita mengorak langkah serta semangat baru untuk melakukan reformasi diri serta anjakan paradigma  ke arah mencetuskan modal insan serta khalifah yang dapat berbakti untuk agama, ummah dan negara.
    Anda sebenarnya boleh memilih tindakan dan tindakbalas anda.  Tindakan ialah apa yang anda lakukan atau usahakan, tindakbalas pula ialah respon anda terhadap apa yang berlaku atau terjadi atas diri anda.  Sebahagian besar tindakan dan tindakbalas anda sebenarnya berlaku secara spontan mengikut kebiasaan atau tabiat.  Cuba fikirkan kembali bagaimana anda butangkan baju anda setiap hari?  Jalan mana anda ambil untuk ke destinasi anda setiap hari?  Air apa yang anda minum untuk sarapan?  Tanpa anda sedari arahan-arahan tersebut datang tanpa anda sedari dari minda bawah sedar.  
   Kejayaan dan kegagalan ditentukan oleh perkara yang anda lakukan setiap hari, bukannya apa yang dilakukan sekali-sekala.  Oleh itu sangatlah penting agar tindakan dan tindakbalas spontan anda setiap hari menjana sikap positif dalam diri.  Tindakan dan tindakbalas anda menggambarkan sikap anda.  Sikap anda pula berdasarkan cara anda lihat kehidupan yang bakal anda lalui dalam fikiran anda.  Kalau tindakan dan tindakbalas spontan anda adalah negatif, maka ia tidak menguntungkan anda.  Anda perlu lakukan sesuatu untuk mengubahnya.  Antara cara yang boleh anda lakukan ialah sentiasa jangkakan kejayaan itu milik anda.  Lihat yang perjalanan usia anda membawa anda kepada sesuatu yang besar dan bermakna kepada diri, keluarga dan masyarakat anda.
Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya.  Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif.  Malangnya dalam kehidupan ini kita lebih sering takutkan kegagalan.  Cara fikir kita menjurus ke arah itu.  Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan.  Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan.  HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.  

”SEGALANYA BERMULA DI SINI...MASA DEPAN KITA LANGKAHI BERSAMA”

MAHADZIR B. OTHMAN
PENGARAH KURSUS & SEMINAR

AL-BADRU TRAINING

Tiada ulasan:

Catat Ulasan